WARNA-WARNA CAT - 25/Mei/2010

Anda tahu pilihan warna cat yang sesuai untuk kediaman anda? Anda tahu bagaimana warna pilihan anda akan dihasilkan? Pasti pelbagai pendapat dan cara yang akan anda fikirkan. Jadi, jangan memeningkan kepala anda kerana Inspirasi Ana sedia membantu anda dalam memilih warna cat yang anda impikan.

Warna apa yang sesuai? Ya, setiap kali anda ingin memilih cat, pasti persoalan ini akan dibangkitkan. Dan setiap kali itulah, saya akan menanyakan kembali warna apa yang menjadi kegemaran anda. Bukan mudah untuk mendapatkan warna yang ideal sesuai dengan kediaman anda. Melalui perbincangan demi perbincangan, pilihan demi pilihan, maka keputusan perlu diambil dengan segera agar anda tidak rambang mata lagi untuk memilih warna lain.

Sememangnya kerja mengecat adalah sukar, apatah lagi mahu mendapatkan hasil yang menarik Bagaimana untuk anda mendapatkan warna yang menarik?, rahsianya adalah dengan menggunakan lebih daripada satu warna. Tidak mengapa kalau warna-warna yang dipilih itu bertentangan, asalkan warna itu adalah serasi. Anda juga boleh memilih warna di dalam keluarga yang sama, tapi berlainan tonanya. Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna anda perlu menerapkan warna-warna itu pada satu medium sahaja, sebaliknya anda boleh menjadikan 4 medium berikut sebagai asas :-

Warna Asal

Rumah diibaratkan seperti kanvas tetapi bukan kosong kerana diisi oleh pelbagai benda dan bahan. Oleh itu, warna bumbung, rel dan tingkap yang tidak dicat harus diteliti. Warna baru tidak semestinya diseragamkan dengan warna lama, yang penting kesuluhan kediaman anada tampak harmoni.

Warna ruang dalaman

Unsur yang tidak penting seperti sarung bantal dan cadar tidak perlu dititikberatkan dalam pemilihan warna cat. Paling penting ialah memastikan warna yang dipilih itu serasi dengan warna kemasan dalaman seperti langsir dan perabot, bahkan ini adalah ciri penting untuk memilih warna dalaman.

Warna penegasan

Bergantung kepada ukuran dan tahap keunikan rumah, anda boleh memilih dua, tiga atau selebihnya warna untuk diberikan penegasan di dalam sesuatu ruang. Warna-warna ini boleh diserapkan ke atas tiang rangka dinding dan panel. Walaubagaimanapun berhati-hatilah, kerana memilih warna yang pelbagai akan mencacatkan pemandangan anda.

Gelap dan cerah

Warna yang cerah akan menampakkan ruang rumah anda luas, sebaliknya warna yang gelap menampakkan kesan sempit walaupun menonjolkan penegasan dan daya tarikan. Warna lembut pula menenggelamkan penampilan seni kemasan dinding.

Harmoni dan bertentangan

Warna yang bertentangan menonjolkan keindahan seni bina, tetapi pertentangan yang berlebihan boleh mewujudkan kesan bercelaru dan menjejaskan ciri keindahan. Sekiranya mahu memilih banyak warna, pemilihan dari keluarga yang sama adalah lebih selamat. Untuk memberi penegasan, pilih warna yang sama, tetapi tona yang berbeza sama ada lebih gelap atau lebih terang berbanding memilih warna yang berlainan.

Keseimbangan

Memilih satu warna mampu meonjolkan kehadiran kelengkapan/perhiasan di dalam rumah. Jika mahu menggunakan pelbagai warna, cuba seimbangkan pilihan warna anda dengan kelengkapan/perhiasan.

Ketahanan

Lebih kuat tona warna yang digunakan seperti biru terang dan merah pekat, lebih cepat pudar. Warna yang pekat akan menimbulkan masalah penyelenggaraan kerana meresap haba dan menimbulkan masalah risiko kelembapan. Warna yang sudah pudar tidak boleh diperbetulkan dengan sapuan pada bahagian tertentu kerana akan menimbulkan kesan tompokan, sebaliknya perlu dicat semula secara menyeluruh.

Seni

Pilih sama ada mahu menggunakan cat jenis berkilat, separuh kilat atau biasa. Sebarang kecacatan akan mudah dilihat pada permukaan berkilat seperti kesan berus yang tidak rata atau cat pembaikan (touch-up). Namun permukaan berkilat adalah lebih mudah untuk dicuci. Cat jenis biasa kebiasaanya digemari oleh orang ramai dan cat berkilat biasanya digunakan untuk rel, tiang dan rangka.

Penipuan warna

Warna cat akan kelihatan berlainan dibawah cahaya dan akan lebih cerah dipermukaan yang luas. Oleh itu dinasihatkan menguji dahulu warna pilihan sebelum membeli jumlah cat yang diperlukan.


PERINGATAN

Jangan terburu-buru membuat keputusan.

Sekiranya anda menggemari sesuatu warna, gunakannya di mana-mana ruang di dalam rumah. Pilihlah warna yang dapat menunjukkan keperibadian anda dan warna tersebut mampu berinteraksi dengan kelengkapan dan perhiasan kesukaan anda.

Jangan abaikan psikologi warna

Jangan sesekali berfikir anda boleh memilih warna gelap seperti oren, merah, biru terang boleh mencipta suasana ruang yang tenang, ini kerana warna-warna ini sesuai digunakan untuk ruang bermain ataupun ruang keluarga di mana pelbagai aktiviti berlangsung. Oleh itu, pemilihan warna yang sesuai dengan ruang perlu dititikberatkan agar dapat menimbulkan keserasian. Anda perlu ingat bahawasanya, pelbagai jenis warna yang boleh dipilih, tidak semestinya biru yang kita inginkan adalah biru yang kita fikirkan dan putih tidak semestinya tiada tona. Anda juga perlu melihat jangkauan warna sebenar untuk mengenalpasti sama ada warna itu gelap, cerah, pudar atau terang.

Newer Post Older Post

Leave a Reply

Segalanya mungkin dengan WARNA...serlahkan kediaman anda dengan pilihan WARNA yang menarik....Inspirasi Ana akan membantu menjadikan impian anda menjadi nyata...hanya dengan WARNA...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...